Nuffnang

MUKTAMAD : Pakatan Rakyat Tidak Wujud Lagi - DAP


PAS, Apa lagi nak dikata? Talak yang dilafaz semasa muktamar sudah tidak mahu dirujuk kembali oleh DAP. 

DAP hari ini mengumumkan menerima keputusan muktamar PAS yang meluluskan usul memutuskan hubungan dengan mereka, sekali gus membuatkan gabungan pembangkang tidak lagi wujud.

“Oleh kerana Pakatan Rakyat dibentuk oleh muafakat tiga parti serta terikat dengan rangka dasar bersama, usul muktamar PAS secara berkesan telah menamatkan Pakatan Rakyat.

“Pakatan Rakyat justeru tidak lagi wujud,” kata setiausaha agungnya Lim Guan Eng.

“Pakatan Rakyat justeru tidak lagi wujud - Lim Guan Eng.


Pakatan ditubuhkan pada 1 April 2008 selepas tsunami politik pembangkang yang melanda dalam pilihan raya umum ke-12 pada tahun itu.

Lim berkata, ketika penubuhannya, dicapai untuk mendukung prinsip muafakat dan kepercayaan bersama bersama demi membawa era baru politik yang telus dan bertanggungjawab.

Bagaimanapun, tambah Lim, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sejak sejak setahun lepas gagal patuh kepada keputusan majlis pimpinan Pakatan, antaranya dalam isu krisis menteri besar Selangor.

Keadaan itu, tambah Lim, menyebabkan gabungan itu hampir lumpuh.

Perkara itu, jelas Lim diburukkan lagi dengan kesediaan Hadi membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno serta menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di tengah-tengah kontroversi 1MDB.

Tidak terkecuali, Lim juga membangkitkan soal pelaksanaan hudud apabila pindaan enakmen Kelantan dan usaha mengemukakan rang undang-undang persendirian di parlimen tidak dibincangkan terlebih dahulu.

Pergolakan politik dalaman parti pakatan pembangkang meruncing selepas PAS menerima usul Dewan Ulama, yang mahu parti memutuskan hubungan dengan DAP dan kekal bersama pakatan.

Usul yang dikemukakan pada muktamar tahunan ke-61 awal bulan ini sudah cukup menunjukkan PAS bersedia mengambil risiko demi mempertahankan prinsip parti, yang memperjuangkan Islam.

Bukan sahaja dikritik rakan sekutu DAP, PAS juga menerima tamparan daripada beberapa pemimpin mereka yang membidas kononnya parti itu menjadi semakin mundur selepas kegagalan kumpulan profesional meraih tempat dalam pemilihan parti, 4 Jun lepas.

Bahkan ada pemimpin yang lantang mencadangkan PAS supaya membuat pendirian tegas untuk keluar daripada pakatan pembangkang.

Rentetan usul itu, bibit-bibit pertelagahan di dalam PAS semakin menyerlah membabitkan kumpulan ulama dan profesional, meskipun kewujudan dua kelompok itu dinafikan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada ucapan dasar dan perasmian muktamar parti.

Pertelagahan sesama sendiri di dalam PAS telah dijangka banyak pihak, apatah lagi selepas kumpulan pro ulama menyapu bersih barisan kepimpinan tertinggi parti termasuk di peringkat Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat.

Kenyataan beberapa pemimpin PAS kebelakangan ini, yang menyindir kepimpinan baharu, seolah-olah mempertikaikan keputusan majoriti 1,189 perwakilan yang memilih barisan kepimpinan parti.

Meskipun wujudnya 'chai' (senarai calon pilihan), penganalisis politik melihat ia bukanlah faktor utama yang menyebabkan perwakilan muktamar kali ini menolak kepimpinan golongan profesional.

Sebaliknya kegagalan kumpulan itu adalah berpunca daripada faktor tidak wala' (taat) dan 'sealiran' dengan Presiden parti dan Majlis Syura, menyebabkan mereka disingkirkan.

Pensyarah kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Dungun, Terengganu Che Hamdan Che Mohd Razali berkata perbalahan kali ini adalah satu konflik yang benar-benar berlaku.

"Walaupun pada peringkat awal, ia kelihatan seperti drama apabila DAP Sarawak dan Sabah memutuskan hubungan dengan PAS, yang dilihat sebagai satu strategi untuk menghadapi pilihan raya negeri (khususnya DAP Sarawak).

"Namun, serangan demi serangan antara kedua-dua parti ini sehinggalah yang terkini melibatkan pemecatan penjawat awam negeri Pulau Pinang yang mewakili PAS menunjukkan konflik ini tidak akan selesai dalam masa terdekat," katanya kepada Bernama.

Ahad lepas, akhbar melaporkan Setiausaha PAS Pulau Pinang Mohd Fadzil Kemi yang berkhidmat sebagai Pegawai Penerangan kerajaan negeri diberhentikan, berkuatkuasa Jumaat lepas.

Perkembangan selepas ini pastinya terarah kepada pendirian rasmi daripada PKR. Sama-sama kita nantikan....
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top