Nuffnang

RM 0.20 : Kemana Hasil Jualan Beg Plastik?


Kerajaan PKR Selangor digesa menjelaskan ke mana wang hasil jualan beg plastik dibelanjakan selepas polisi tiada beg plastik di negeri itu diperluaskan kepada setiap hari bermula 1 Januari lalu berbanding hanya Sabtu sebelum ini.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan negeri sepatutnya memperincikan kegunaan hasil jualan beg plastik yang berjumlah 20 sen setiap satu itu supaya pelanggan tidak ragu dengan penguatkuasaan peraturan tersebut.

“Kerajaan negeri perlu tampil menjelaskan mengenai hasil jualan, sekali gus dapat menenangkan hati pengguna yang tertanya-tanya ke mana perginya hasil jualan itu.

“Mereka juga harus telus dan menghebahkan program ini kepada seluruh rakyat di Selangor bagi memastikan program alam sekitar ini berjalan dengan lancar untuk jangka masa panjang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar pada 5 Januari lalu turut mempersoalkan hasil jualan beg plastik itu sama ada akan diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) ataupun pasar raya berkenaan.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Malaysia (Maconas), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, kerajaan negeri dilihat tergesa-gesa untuk melaksanakan peraturan itu kerana rata-rata pengguna terkejut.

Beliau juga menyokong kerajaan negeri mengharamkan penggunaan beg plastik bagi mengurangkan kesan kepada alam sekitar namun menegaskan peraturan itu wajar dibuat secara berperingkat.

“Ramai pengguna mengadu di laman sosial mengenai isu ini, kerajaan negeri perlu menghebahkan lagi mengenai program yang dijalankan bagi mengelak ia menjadi isu yang lebih besar,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, kerajaan negeri seharusnya mengambil inisiatif yang lebih menarik bagi melancarkan pelaksanaan program itu.

“Mereka seharusnya melaksanakan program ini dengan lebih kreatif, contohnya memberikan beg kitar semula di beberapa pasar raya terpilih sebagai langkah awal untuk mempromosi program ini kepada pengguna.

“Pemberian beg kitar semula secara percuma bukan sahaja mampu menjayakan program ini malah dijangka dapat meningkatkan kesedaran pengguna terhadap kepentingan menjaga alam sekitar yang semakin terjejas,” katanya.- Utusan Malaysia
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top